Monday, September 28, 2009

Ada satu klip video yang ingin penulis kongsikan bersama disini, iaitu klip video promo bagi program realiti Contender Asia 2 yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini kalau tidak silap penulis. Menariknya, musim kedua bagi siri realiti sukan lasak ini menjadikan Malaysia sebagai gelanggang tarung buat para Nak Muay handalan bertempur.

Sudah tentu penulis rasa teruja, mana tidaknya Malaysia juga menurunkan 2 orang wakil iaitu Faizal siku emas dan Bernard head hunter.

 

Sunday, September 27, 2009

Selain drama Pendekar Kundur, ada satu lagi drama silat melayu yang menjadi kesukaan penulis. Penulis berpendapat belum ada lagi drama seni tarung di Malaysia hingga mutakhir ini setanding dengan aksi yang ditonjolkan dalam siri Keris Hitam Bersepuh Emas. Seingat penulis, koordinator aksi tarung dalam siri yang menampilkan Eman Manan sebagai wira ini ialah Eby Yus dan Master Ruzaidi Abdul Rahman.

Nilai kemelayuan serta seni silat yang mantap begitu menonjol sekali, tanpa perlu menampilkan gaya akrobatik, terbang sana, terbang sini dari drama atau filem Kung Fu Hong Kong. Para bintangnya juga tidak bermuka jambu seperti yang sering ditampilkan dalam drama-drama kini. Hairan juga kenapa tiada lagi drama seperti ini dikaca tv, apa kurangnya genre drama seperti ini kalau hendak dibandingkan dengan drama picisan yang diterajui hero-hero yang badan saja tegap tapi lembik.
 


Aktor melayu kesukaan penulis iaitu Eman Manan, Bukan sahaja pelakon yang bagus, penulis ulang lagi sekali, seorang pelakon yang bagus berlakon malah mahir bersilat.

Baik tidak usah bikin drama silat jika sekadar cukup syarat ibarat seperti batuk tak ikhlas ditepi tangga, sambil menyelam minum air. Alang-alang basah biarlah sampai ke pangkal lengan atau lebih baik tidak payah terus daripada kita berterusan memalukan imej Laksama Hang Tuah, menafikan kehebatan Jebat.

Disebabkan drama murahan seperti inilah yang mencemar nama baik seni warisan bangsa, hingga kadang-kadang kita lihat ramai yang memandang rendah akan kehebatan zat serta semangat silat melayu. Adakah kehebatan pahlawan Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Bahaman serta Kiai Salleh itu palsu serta sengaja diada-adakan?

Ini asyik-asyik main taram saja, hendak dikata bertomoi tidak, bersilat tidak, berkarate pun tidak. Kalau sudah namanya drama silat maka persembahkanlah seni silat yang betul, tonjolkan seni tari serta penangan buahnya. Seni ini sangatlah wajar ditampilkan ke layar, tapi bagi kategori drama gadoh sudah memadai kiranya ditampilkan gaya street fighting, alang-alang koboi biarlah koboi terus, jangan pula dicampur sebab nanti tak berseni, sudah tidak cantik lagi.

Penulis lupa, zaman kini semua hanya mahu untung. Apalah guna bisnes kalau rugi tapi rasanya dari sudut kualiti, sampai kiamat kita akan terus tertinggal.

Selamat menonton!

Friday, September 25, 2009

Penulis gemar melihat klip-klip rompakan atau pun ragut menerusi saluran youtube kerna ini adalah saluran alternatif untuk penulis lebih memahami modus operandi atau pun karakter serta cara fikir pelaku jenayah. Kesukaan ini bukan hanya sekadar obsesi tetapi lebih kepada kesedaran betapa pentingnya kita memahami selok belok tentang bagaimana untuk mengesan sesuatu jenayah sebelum ia berlaku. Justeru, mencegah itu lebih baik dari merawat.

Menerusi pemerhatian penulis, masyarakat kita masih kurang kesedaran tentang bagaimana mencegah sesuatu jenayah daripada berlaku. Sebetulnya zaman kini kita tidak boleh terlalu bergantung harap pada pihak polis semata-mata kerna tugasan mereka bukan semata-mata untuk mencegah jenayah, tetapi lebih kepada mematahkan serangan penjenayah. Maksudnya, lebih praktikal untuk kejadian yang sudahpun berlaku.

Maka penulis percaya yang masyarakat jika kena caranya dapat memainkan peranan paling penting tentang bagaimana untuk mencegah jenayah. Kita ada dua biji mata, dua telinga, serta sepasang kaki dan tangan, dengan memanipulasi penuh pancaindera anugerah yang maha esa kita bisa mengesan sesuatu sebelum ia berlaku. Untuk mencapai tahap itu, kerjasama amat dialu-alukan. Maksudnya setiap dari kita menjadi mata-mata kepada saudara-saudara kita yang lain.

Tapi waspada, jangan sampai jaga tepi kain orang, tepi kain pun ditegah apatah dalam kain, haram.

Sebelum itu penulis sengaja ingin berkongsi salah satu klip video yang menjadi bahan tawa penulis. Benar atau tidak penulis tiada jaminan. Tapi penulis jamin kamu akan tersenyum, senyum-senyum selalu.

Thursday, September 24, 2009

Penulis sangat salute dengan karisma 2 orang tiger ini. Memang antara taikor Islam yang menonjol, serta berpegang teguh kepada pendirian yang sangat konsisten. Jangan salah faham, ini bukan tiger yang apek bakuteh jual tu. Dalam sesetengah hal, perihal mazhab mungkin kita boleh letak dibahu kiri dahulu, selagi kita menyembah Tuhan yang sama serta memperakui kenabian ke atas Rasul yang sama penulis rasa kita adalah sama tiada pula berbeda.


Klik sini
 


Mahmoud Ahmadinejad

 
Muammar Gaddafi
Kepada pria-pria kacak atau yang mungkin lebih tepat jejaka metroseksual, anda tidak digalakkan untuk menceburi sukan lasak sebegini, kasihan risau nanti membawa kepada tekanan perasaan atau mengalami sindrom inferiority complex, mana tidaknya kalau hidung yang mancung bak seludang tiba-tiba kemik atau balancingnya lari, hilanglah aset, tak handsome lagi.

Penulis sarankan, kalau terperasan mana-mana anak remaja yang nakal-nakal atau hyperactive secara spesifiknya anak-anak yang sudah tidak mahu belajar, boleh-bolehlah dibawa ketengah. Alang-alang lasak suka bergaduh bak datang belajar boksing siam bergocoh digelanggang. Hati senang, jiwa girang, tekanan hilang, bangga pun berkekalan. Orang tua kata, jadi orang sikit dari asyik merempit, asyik mengepak, bergaduh tak tentu pasal.

Entahlah, sukar pula rasa nak menulis. Payahnya ialah untuk menggambarkan betapa dalamnya luka dihati bila melihat saudara seagama pergi tidak kembali. Penulis tiada hati pun nak membicarakan perihal mat rempit mati katak dijalan raya atau mungkin kerjaya budak-budak sekolah hidu gam atau juga polemik lain seperti gengsterisme dan sebagainya. Penulis masih lagi jahil tentang bagaimana untuk meletakkan link disini, tetapi penulis cuba untuk meringkaskan cerita, mesti ada yang tertanya apa yang ringkas sampai dalam sangat luka dihati?

Seperti selalu, setiap hari penulis akan membuka beberapa laman kesukaan hati. Sebetulnya laman-laman ringan menjadi pilihan penulis untuk merehatkan mata seterusnya melegakan otak sendiri. Huh, jangan fikir yang bukan-bukan pula, kalau ada pun laman ringan-ringan yang lainnya mungkin terklik sengaja atau sengaja-sengaja klik. Penulis nampaknya berjaya meletakkan link dibawah, jadi rasanya tidak perlu penulis menjadi perawi yang entah bilangan ke berapa, nanti banyak pula perisa tambahannya.

Klik sini.

Kalau difikirkan nasib kita jauh lebih baik berbanding keadaan saudara-saudara kita yang lainnya disana. Tapi hakikatnya, dalam kita mewarisi kesejahteraan, atau kita kata kononnya kemakmuran atau juga kita kata kononnya kebebasan total tanpa campur tangan penjajah kita terlepas pandang dengan isu Palestine. Kalau pun ada yang sampai serak suara ala-ala Saleem Iklim sekalipun, berpekik, melaung menentang penjajahan Zionis tapi kalau zat atau perasaannya itu setakat luaran saja rasanya tidak mencukupi.

Sebetulnya isu Palestine tiada mungkin akan ada kesudahan selagi mana Mahdi atau Isa belum lagi muncul, maka tidak hairanlah Dajjal dengan para sekutunya akan sedaya upaya merealisasikan rencana mereka sebaik yang mungkin. Tapi itu bukan alasan untuk kita buat tidak tahu, hangat-hangat tahi ayam, tapi sekurang-kurangnya usaha dalam makna kata selemah-lemah iman, kerna isu Palestine ini bukan sahaja polemik rakyat Palestine namun skopnya lebih luas, lebih sejagat maka kita saudara seagama turut dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan al-Aqsa, mempertahankan Palestine.Kaabah dengan al-Aqsa itu tidak kurang dan tidak lebih sama, bezanya arah kiblat kini menghadap ke Kaabah, Mekah.

Jadi apa rasanya kalau kata Kaabah yang diceroboh?

Tempat sujud kita dipijak?

Selemah-lemah iman ialah kita duduk berfikir, meletakkan diri ditempat saudara kita, sedekat-dekat jihad yang kita boleh lakukan ialah berjihad dengan diri sendiri, betulkan apa yang tidak. Bagi yang rasa diri mat rempit, sayang sangat rasanya jiwa muda tapi semangat merewang tanpa arah tuju, energy itu ada cuma tak tahu kemana untuk dihala walhal Polis pun kecut, jenuh perut nak mengejar. Ada yang belum bersunat, burung masih kecut lagi sudah merempit. Kalau Izrail datang memanggil, mati katak tak sempat mengucap dijalan, akhirat tak dapat, dunia pun tidak.

Belum lagi campur dengan sikap budak-budak baru nak naik, orang Kelantan kata gedebe, orang Sarawak sebelah Saratok kata amsing. Gaya nak hebat, jalan nak gah walhal tidak sedar yang sebenarnya perasan saja yang lebih. Gaya nak Padayyappa saja, tapi hati dalam sekecil kuman. Duduk seorang diri nampak hantu pun takut, nampak besar tapi burung dalam kecut, sergah tengok basah seluar terkencing hancing. Sebenarnya dalam situasi tertentu, kuku harimau pun kena sorok juga, sembunyi-sembunyi sikit. Energy yang ada itu kalau kita salurkan ke channel yang betul alamat makin bermaruah bangsa kita.

Kadang salute juga dengan remaja Palestina, kadangnya kita nampak mereka seperti orang kebanyakan saja. Hakikatnya, dentuman peluru Mortar, AK47 atau deruan peluru mesingan itu biasa ibarat makan nasi lauk ikan saja. Sudah tiada apa yang nak digerunkan, sudah lali maka tiada ruang takut dihati.

Maka penulis harap yang baik itu kita simpan buat teladan, yang kurang baik itu kita buang jauh, jangan ambil buat ikutan. Penulis ralat sedikit sebab percaya kepada potensi bangsa penulis sendiri, sudah pasti bangsa yang misteri menyimpan seribu satu rahsia tersembunyi. Menunggu alter ego itu keluar entah bila akan muncul. Harapnya energy yang keluar itu gelombangnya positif dan jauh dari energy negatif yakjuj dan makjuj.

Tuesday, September 22, 2009

Raya dulu-dulu


Sedang penulis godeng-godeng komputer comel milik adik perempuan penulis, terjumpa gambar lama ini. Mulanya ingat nak 'spot check' manalah tahu semenjak bergelar mahasiswi sudah pandai main-main cinta. Maklumlah handphone tak lekang dari badan, mulalah abang mithali ini 'suspicious'. Kumbang zaman sekarang bukan boleh pakai, contoh terdekat kumbang capik yang tengah menulis ini.

Monday, September 21, 2009

Pantas benar masa berlalu, seperti mana Ramadhan beredar laju begitu juga eidulfitri, sedar tak sedar sudah masuk raya ketiga. Bagi yang bercuti, apalah sangat cuti yang seminggu itu. Cuma bezanya seminggu ini dengan seminggu yang lain ialah keterujaan, maksudnya keterujaan untuk pulang beraya. Budaya balik kampung yang begitu nostalgik sekali, rugi sangat pada mereka-mereka yang tiada kampung.

Bagi yang kampungnya dekat tidak sampai 2 marhalah seperti kampung baru, baik kampung baru Kuala Lumpur, mahu pun kampung baru, Klang atau mana-mana kampung baru sekitar kota, Puchong dan sebagainya, penulis cadangkan agar eidulfitri tahun depan rajin-rajinlah naik bas Rapid KL, Metrobus, Bas Seranas, City Central Bus yang berselerakan sekitar kota. Alang-alang biar transit, terasa sikit kemeriahan balik kampung.

Sebabnya, adalah seorang kenalan penulis yang mengadu cemburu dengan penulis, katanya penulis bertuah punya kampung halaman, yang bezanya kampung penulis (sebelah ayah) lokasinya agak jauh dipantai timur semenanjung manakala kampung kenalan penulis hanya di Klang sahaja. Jadi, apalah yang nostalgiknya jika rumah di Bukit Jelutong, Shah Alam tetapi pulang beraya hanya di Klang.

Penulis sendiri hanya mampu senyum tidak ikhlas kerna secara peribadinya penulis merasakan, biar dekat macam mana sekalipun kampung kita yang penting isi rumahnya cukup, hubungan sillaturrahim sesama keluarga, adik beradik dan saudara mara baik. Apalah guna jika berpenat lelah pulang ke kampung yang letaknya jauh namun sillaturrahim sesama keluarga itu kurang baik, atau pun boleh jadi pulang ke kampung sekadar cukup syarat atau boleh jadi pulang ke kampung namun tiada siapa pun yang hendak kita ziarahi.

Melainkan kita pulang nawaitunya untuk memperbaiki, merapatkan jurang yang sudah lama renggang. Eidulfitri dengan bermaafan adalah satu. Bukan tidak boleh bermaafan dibulan yang lain namun alasan untuk bermaafan lebih kuat ketika eidulfitri. Inilah momen istimewa untuk kita bermaafan dan menziarahi pusara. Eidulfitri jugalah momen untuk masyarakat bertangisan mengenang mereka yang sudah tiada. Walhal, eidulfitri ialah perayaan bagi meraikan kemenangan, kemenangan umat Islam yang berjaya dalam jihad menentang nafsu dan nafsi.

Lihat betapa istimewanya budaya kita, sampaikan sambutan untuk meraikan kemenangan pun kita teringat kepada yang sudah tiada, seolah-olah tidak sampai hati untuk beraya mengenangkan ada antara kita yang sudah tiada. Kalau boleh di hidupkan mereka yang sudah pergi, sudah tentu eidulfitri adalah bulan yang kita harapkan mereka bangkit dari pusara.

Cantikkan budaya orang melayu?

...

Semasa bertolak dari Shah Alam menuju ke Cameron Highland, lalu keluar tembus ke Gua Musang sehinggalah sampai ke Pasir Puteh jumaat minggu lepas sampai ke hari ini, boleh dikatakan selang setengah jam telinga ini syahdu mendengar deruan ambulan meluncur laju dijalan. Setiap masa ada saja kemalangan yang berlaku, kita pun sedia maklumlah kerna selalunya kemalangan ini datang dengan pakej, pakej dengan jem sekali, kira macam "buy one free one".

Manalah tidak sesak, ada antara kita yang terlampau perihatin, merenung kereta yang remuk, main mata dengan mangsa yang tersepit sakit seakan mahu terkeluar biji mata, kalau turun menolong tidak mengapa, ini kalau sekadar tolong tengok, orang belakang pun mula hati panas, duduk tak senang, bila tak senang, sabar pun mula hilang, baran pun datang. Tiada siapa yang larang pun, cuma apa salahnya bagi isyarat lalu masuk ke tepi jalan. Jadi orang belakang yang sememangnya fokus kepada misi utama untuk pulang ke kampung tidak terganggu.

Satu lagi karenah lucu ialah bila nampak Polis ditepi jalan, bukan main macam siput lagi memandu, tiba-tiba berkelakuan sopan tahap boleh dijadikan calon menantu. Nampak Polis mesti takut, berdebar agaknya? Tapi apa yang hendak digerunkan jika tidak buat salah, sepatutnya kehadiran Polis buat kita rasa lebih selamat, bukan buat kita lebih takut. Lainlah jika memang ada sekatan jalan, kalau kita perlahan pun mahu atau tidak orang belakang kena tarik nafas redha.

Apa-apa pun yang penulis ngomelkan diatas sekadar pendapat peribadi, apa yang diharapkan cuma dibulan mulia ini kita memandu dengan lebih berhemah maklumlah alter ego orang melayu ini begitu menyerlah ketika memandu dijalan, baik yang menunggang motosikal mahupun memandu kereta, yang menunggang motosikalnya rempit, tak padan naik motor Honda lampu bulat pun ada hati jadi superman, yang memandu keretanya pantang kereta lain rapat sikit, mula ingat cucuk angin.

Tahu tanggungjawab serta peranan masing-masing pun sudah kira syukur, lagi-lagi ketika masing-masingnya akan kembali pulang ke kota. Toleransi itu bermula dari diri sendiri, kalau tidak dimulai dari diri individu itu sendiri jangan harap orang lain akan mulakannya.

Penulis akhiri helaian ini bersama petikan magis yang penulis pinjam dari wacana pascakolonial era kolonial yakni nashkah Putera Gunung Tahan, hayati agar kita saling mengerti. Salam eidulfitri dari Jenawi Sari.

Belulang Harimau putih,
Lapik membuka pekung,
Cenuai pengasih, membodohkan,
modennya manusia serakah,
Sakai.

Salam.
Ralat

  • Pusa, salah satu daerah di Saribas, ejaannya bukan Pusak seperti yang penulis catat dalam helaian mukadimah. Walau bagaimanapun, sebutannya berbunyi Pusak.
  • Batang Sadong, masih jua samar-samar lokasinya.
  • Nama datuk penulis ialah Abang Mohd Tamin Bin Abang Haji Drahman Bin Datuk Abang Tamin.
  • Kesilapan pada helaian mukadimah serta merta telah penulis ubah agar sesuatu yang fakta adalah benar-benar fakta.
  • Kononnya semangat Benak di Batang Sadong terbelah dua menyebabkan Benak tidak lagi mengganas diperairan itu, yang tinggal cuma Benak di Sungai Batang Lupar sahaja.

Semasa mendengar, penulis mungkin akan tertinggal beberapa fakta penting, mungkin juga akan terkhilaf. Kiranya kini penulis bertemu jua dengan sesuatu yang boleh menarik selera untuk menulis. Tidak kisah samada kisah Jenawi Sari benar atau sekadar mitos dan lagenda, sekurang-kurangnya penulis berkesempatan menyumbang kepada sesuatu yang penting buat keluarga penulis sendiri.

Jika antara kamu terutama 'embiak Sarawak' yang datang dari keluarga perabangan tahu mengenai mitos ini maka sudi-sudilah berkongsi cerita.

Penulis benar-benar merasa teruja.

Sunday, September 20, 2009

Aku cuba nukilkan sebuah ekspresi, membawa kamu melintas lalu singgah ke sebuah hentian aspirasi. Aku tidak membawa aspirasi rakyat disini, aku membawa aspirasi sendiri. Mewakili sebuah fitrah dan emosi. Aku percaya, sebilangannya merasai, semua akan menempuhi. Andai tidak, Tuhan itu tidak sesekali bekalkan kita bersama emosi.

Hanya untuk kita rasai, agar kita bisa mengerti.

Disuatu sudut aku berhenti,
berfikir sendiri,
lalu duduk memujuk hati sendiri,
sambil mengenang kembali,
sebuah cereka acuan sendiri.

Gumbira tanpa suara,
riang mengolah senyum asmara,
ria menguntum seluruh raga,
tiada lagi lara,
hilang duka,
suka pula menjelma.

Mencari inspirasi,
menuju destinasi,
halatuju ciptaan sendiri,
realiti yang pasti,
bahu berat menggendong aspirasi,
puncak didaki, sampainya tidak pasti.

Fitrah cinta datang dan pergi,
sahabat berduka sukar pula dicari,
yang nyatanya akan ada yang mengerti,
kekasih sejati mengerti,
sahabat juga mengerti,
Dia lagi mengerti.


Pelihara sebuah emosi, kerna penghormatan bermulanya disini.

Bak kata Brader M.Nasir, dalam hidup manusia akan sering melalui garis-garis lurus. Usah kita langkaui garisan yang lurus, kerna garisan itu simbolik kepada sebuah sempadan. Jika elok pembawaannya, maka akan terbit sebuah keseimbangan.

Sempadan yang bagaimana terpulang kepada pemahaman kamu sendiri.

Sehari bisa mengundang seribu emosi yang berbeza, apatah lagi seminggu, sebulan dan setahun. Malam juga sering mempengaruhi pasang surut air dikepala, apatah lagi ketika bulan mengambang. Andai bulan bisa mempengaruhi pasang surut air dilaut, apatah lagi pasang surut air dikepala. Beginilah antara rencah kehidupan makhluk kompleks ciptaan yang maha kuasa.

Seperti yang dicerita oleh ibu penulis, Jenawi Sari merupakan gelaran atau nama yang diberi kepada sebilah pedang pusaka. Pedang yang membawa gelaran Jenawi Sari ini khabarnya pernah menumpaskan benak ganas di salah sebuah sungai di Batang Kadong, terletak didaerah Pusak, Sarawak.

Mengikut cerita, asalnya suatu ketika dahulu telah wujud dua kawasan munculnya benak. Pertama di Batang Sadong, Pusa' dan kedua di Sungai Batang Lupar, Simanggang. Bagi rakyat Sarawak terutamanya di bahagian Sri Aman, Benak bukanlah fenomena yang asing. Malah ia menjadi kebanggaan pula kerna merupakan salah satu fenomena luar biasa yang amat jarang ditemui dimana-mana kawasan didunia.



Fenomena Benak hanya wujud di tiga kawasan sahaja didunia (kalau tidak silap penulis), salah satunya yang hingga kini menarik perhatian pelancong ialah di sungai Batang Lupar yang terletak di Sri Aman, Sarawak. Fenomena benak umumnya menyerupai sifat ombak, walau bagaimanapun ombak hanya berlaku dipantai sahaja. Fenomena kejadian ombak deras disungai itulah yang diberi nama Benak. Cuba bayangkan, kamu sedang melihat ombak di sungai?

Menarik dan menakjubkan!

Suatu ketika dahulu, wujud fenomena Benak ganas di Batang Sadong. Arus benak yang begitu deras khabarnya mendatangkan kesulitan kepada masyarakat setempat. Namun akhirnya semangat benak itu tumpas (putus dua) ditangan moyang penulis yang ketika itu bersenjatakan Pedang Jenawi Sari.(versi ibu penulis)

Kerna sifat ibu penulis yang benar-benar mahu menjaga warisannya mendorong penulis mengabdikan nama Jenawi Sari di muka laman ini. Selain itu memberi ruang kepada penulis untuk mencari serta memelihara lagenda yang kian tenggelam bersama lipatan sejarah di daerah asal penulis sendiri.

Nama Jenawi Sari boleh dilihat jelas pada alamat asal datuk penulis di Kampung Hilir, Sri Aman, Sarawak. Khabarnya, pedang Jenawi Sari pernah disimpan oleh arwah datuk penulis iaitu Abang Mohd Tamin bin Abang Haji Drahman bin Datuk Abang Tamin. Ibu penulis sendiri tidak pernah melihat pedang pusaka itu apatah lagi penulis yang ketika hayat arwah datuk masih ada, penulis masih lagi kecil.

Kepada siapa Jenawi Sari diamanahkan sehingga kini penulis belum pasti. Sebagai generasi yang baru, penulis kira adalah sesuatu yang penting bagi penulis untuk menjejaki dimana warisan itu berada dan ke tangan siapa warisan itu diperturunkan. Al-maklum ketika arwah datuk meninggal dunia, penulis sudah bertahun menetap dipantai timur semenanjung.

Sebetulnya penulis berasa sedikit terkilan dan rugi kerna langsung tidak berkesempatan untuk melihat dengan mata sendiri akan pedang pusaka itu. Bukan kerna ingin memiliki, cuma sekadar berimpian agar hikayat itu tidak hilang ditelan dek zaman.

Sementara penulis sedang berusaha untuk mencari versi hikayat Jenawi Sari yang asli, laman Jenawi Sari ini akan penulis hiasi dengan helaian-helaian tambahan mengikut kreativiti dan gerak hati penulis.

Sekian.